Wednesday, March 26, 2008

TADBIR HARTA PUSAKA: TAK ADA WASIAT VS ADA WASIAT

Salam.

Menyedari ramai di antara kita tidak berapa pasti bagaimanakah harta pusaka akan ditadbir selepas berlaku kematian, artikel dibawah membuat perbandingan jika simati tidak ada wasiat dan ada wasiat.


BAGAIMANA PENTADBIRAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA DIURUSKAN

Pentadbiran Tanpa Wasiat.
Apabila berlaku kematian, pelbagai aktiviti terhenti secara tiba-tiba, antaranya pembekuan akaun-akaun di bank, unit amanah saham, saham-saham syarikat, perlindungan insuran, takaful, Tabung Haji, urusan hartanah tergendala, penjualan kereta tidak boleh dilakukan, termasuk timbulnya persoalan bila pengeluaran KWSP boleh dilakukan. Hanya apabila Surat Kuasa (Letter of Administration) diperolehi daripada badan-badan tertentu, barulah proses pembahagian asset dapat dilakukan. Namun, tidak ramai yang tahu untuk mendapat
Surat Kuasa tadi, ia adalah satu proses yang rumit dan memakan masa yang agak lama (antara 6 bulan - 2 tahun). Ini tidak termasuk masa untuk pembahagian yang bergantung kepada bentuk harta (antara 1-15 tahun lagi). Di Malaysia, tempat permohonan untuk mendapat Surat Kuasa bergantung kepada bentuk dan jumlah aset simati iaitu:

· Amanah Raya Berhad:
Untuk jumlah aset yang kurang dari RM600,000 DAN bentuk aset simati sama sekali tiada mengandungi hartanah (Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995); atau

· Pejabat Tanah Bahagian Pusaka Kecil:
Untuk jumlah aset yang kurang dari RM600,000 dan aset simati mengandungi hartanah (Akta Pembahagian Harta Pusaka Kecil 1955); atau

· Mahkamah Tinggi:
Untuk semua bentuk aset di mana nilainya melebihi RM600,000 (Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980).

· Mahkamah Syariah:
Untuk orang Islam sahaja iaitu di mana Sijil Faraid dikeluarkan dahulu dan dikepilkan bersama semua permohonan di atas.

Di dalam proses meluluskan permohonan untuk mendapatkan Surat Kuasa kepada pentadbir aset simati, Mahkamah Tinggi akan meminta dikemukakan dua orang penjamin yang setiap seorang mempunyai nilai aset bersamaan dengan nilai aset simati. Setelah memperolehi Surat Kuasa, tugas pentadbir yang seterusnya ialah untuk mentadbir (jual aset sekiranya perlu) dan membahagikan aset-aset simati. Di sini jumlah masa menguruskannya
amatlah bergantung kepada bentuk harta dan bagaimana tuntutan dibuat oleh waris-waris. Untuk orang yang bukan Islam, pembahagian adalah mengikut Akta Pembahagian 1959 di mana telah ditentukan oleh undang-undang sivil. Untuk orang Islam, pembahagian adalah mengikut
hukum syarak iaitu Faraid, tetapi sekiranya semua waris yang layak bersepakat atau bermuafakat maka pembahagian boleh mengikut persetujuan bersama.

Pentadbiran Berwasiat.
Sekiranya Wasiat telah dibuat oleh simati maka proses pentadbiran adalah lebih pantas di mana Surat Probet akan terus diberikan oleh Mahkamah Tinggi, tanpa perlu pergi ke badan-badan yang telah disebutkan di atas lagi. Ini adalah mengikut Akta Probet dan Surat Pentadbiran Pusaka 1959 yang terpakai untuk semua orang, tidak kira Islam atau tidak. Permohonan surat probet boleh dipohon oleh pentadbir yang dinamakan di dalam wasiat simati (pewasiat), contohnya Amanah Raya Berhad. Di dalam permohonan ini, Mahkamah tidak memerlukan sebarang penjamin lagi. Bagaimanapun sesiapa yang dinamakan di dalam wasiat layak untuk menerima aset pewasiat hanyalah terpakai kepada orang bukan Islam. Manakala wasiat orang Islam adalah mengikut hukum syarak. Penggubalan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri di Malaysia dan Jadual Negeri Perlembagaan Persekutuan memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukannya.

Setakat ini, hanya Negeri Selangor dan Negeri Sembilan sahaja yang mempunyai enakmen mengenai wasiat untuk umat Islam iaitu Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 dan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004. Walaupun begitu format wasiat Islam ini secara umumnya diterima pakai di negeri-negeri lain di Malaysia. Di dalam Wasiat Islam pembahagian sehingga 1/3 daripada aset simati kepada bukan waris atau waris yang terdinding, dan bakinya 2/3 dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid atau melalui permuafakatan semua waris mengikut seperti pesanan pewasiat.Dengan wasiat yang disediakan, pentadbir yang dinamakan hanya perlu memperolehi Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah dan menyertakannya bersama dokumen lain seperti surat mati dan wasiat kepada mahkamah untuk diberikan Surat Probet dan membolehkan pembahagian diteruskan. Tempoh kelulusannya adalah lebih cepat antara 6 bulan ke setahun berbanding tanpa sebarang wasiat. Kesimpulannya

Tidak ramai orang tahu tentang kerumitan pentadbiran harta pusaka di Malaysia ini, hanya waris yang merasa keperitan dan kerenah birokrasi apabila kematian telah berlaku. Sekiranya tiada wasiat, proses permohonan dan pembahagian membawa kepada pelbagai akibat dan boleh menggendalakan pelbagai urusan waris yang hidup. Sekurang-kurangnya dengan berwasiat, pewasiat telah merancang apakah hartanya dan kepada siapakah harta tersebut perlu diberikan. Wasiat boleh sentiasa diubah semasa hayat kerana wasiat yang terakhir sahaja yang efektif apabila berlaku kematian.

[Warisan Mukmin Sdn Bhd]

Rohana.

No comments: